Showing posts with label diari Majid. Show all posts
Showing posts with label diari Majid. Show all posts

Thursday, April 4, 2013

Majid, Bubar & Pak Ngah Deraman pt.2

"Hang ada dengar warta berita tadi?" tanya beliau pendek.

"Ada tokwan. Majid dengaq kat radio kawan tadi. Dah bubar dah tadi. Alhamdulillah...."

Jauh di sudut hati Majid, disebalik keketaran yang menggerutuk kedua belah lututnya, dia sudah boleh mengagak soalan apakah yang bakal ditanyakan oleh Pak Ngh Deraman. Ya lah, 20 tahun Majid hidup bersama datuknya sejak 'kehilangan' ayahnya yang sampai sekarang belum kunjung tiba. Majid hanya ada orang tua itu; yang membelanya bagai menatang minyak yang penuh.

Namun, definisi 'minyak yang penuh' itu sebenarnya tidaklah seindah seperti yang sering dihurai dalam buku teks KBSM. Birat-birat 'cinta' berbekas 7-8 garis di belakang badan Majid menunjukkan Pak Ngah Deraman memang mempunyai nilai disiplin dan estetika yang tinggi dalam mendidik Majid menjadi 'orang'. Silap sikit, talipinggang lah makannya. Gagal dalam peperiksaan? Biasanya Majid takkan balik rumah untuk 2-3 hari. Amukan Pak Ngah Deraman sebenarnya lebih dasyat dari video tentera sulu menyembelih tengkuk Komando kita yang pernah menjadi 'viral' sebulan dua yang lalu. Menyampuk cakap orang tua? 'Tiger Kick' lah balasannya. Pada Majid, hukuman bilis-bilis macam tempeleng, low-kick, pulas lemak di perut, low-blow bahkan nipple cripple sudah habis ringan dah, dan tak perlu di Instagram menanti belas kasihan.

Sayangnya, zaman itu belum ada Instagram lagi. Paling hip pun, kawan VCR tape gusti di kedai kopi kampung.

"Aku memang dah tunggu lama dah kalau hal-hal nak mengundi ni. Aku ni dah tua Majid, mungkin ini la kali terakhir aku nak menjalankan tanggungjawab aku sebagai rakyat kat Meleysia ni. Esok lusa, mungkin aku dah padam." keluh Pak Ngah Deraman dengan nada sedikit sayu.

Tambahnya lagi:

"Kita orang Melayu ni jangan jadi pemalas. Asek nak tunggu bantuan gomen saja. Bila masa nak mengundi, tidoq dari pagi sampai ke petang. Buat-buat tak tahu. Aku dah masak dah Majid oiii, dengan perangai bangsa kita ni. Nak kata tak dak kenderaan nak pi sebab tempat mengundi tu jauh gila. Ceh! Bukannya tak ada orang nak *mot kita pi tempat mengundi tu. Ada jaaaa. Tunggu saja tepi jalan. Ada la nanti orang mai kutip kita. Sampai macam tu sekali DUN kawasan kita bagi kemodahan untuk kita pi mengundi, kalau depa semua buat-buat muka bingai lagi, huuuuuuuuish...aku tak tau la!" seloroh Pak Ngah Majid seakan menggunakan telinga Majid sebagai medium melampias ketidakpuashatian.

Majid tersenyum. Dia paham benar perangai datuknya itu. Biasalah, veteran askar la katakan. Hal-hal bangsa pemalas ni memang dia sensitif benar. Kalau difikirkan logik, betul kata-kata yang diselorohkan datuknya itu. Pernah sekali Pak Ngah Deraman menempeleng Deris, seorang peraih buah kelapa yang paling disayangi kroni di Parit Buntar ini. Ini kerana, ketika bersembang di kedai kopi, Deris dengan tidaksengajanya terlepas cakap yang dia tertidur sampai ke Maghrib semasa PRU 2 musim yang lalu, dan tidak sempat pergi mengundi. Majid yang ketika itu meneman atuknya minum kopi panas di kedai Kopi Haji Hasaan tergamam melihat Deris tersandar di dinding mengerang kepedihan di pipi. Semua pengunjung kedai kopi ketika itu tidak saorang pun berani bangun dan menghalang kejadian itu dari terus berlarutan. Hendak ditolong Deris, takut dilabel 'bantu tak kena tempat' pula. Jadi, biarkan jer lah!

Begitulah betapa patriotiknya datuk Majid. Hal-hal tak keluar mengundi ni memang pantang betul didengarnya.

"Ya lah...Majid pun dah rasa Majid perlu mengundi la tahun ni Tokwan. Harap-harap undi Majid ni mampu mengubah suasana politik negara kita..." ujar Majid perlahan.

"Hah! Tahun ni aku kalau boleh takmau dah tunggu van tepi jalan. Aku nak pi dengan hang Majid. Hang balik tak ni? Jangan kata hang kena pi pelantaq minyak lagi. 2 bulan dah ni aku tak tempeleng orang!"

*gulp*

Majid mula menelan air liur. Sah tokwannya lupa akan status Majid yang paling latest.

"Tapi tokwan....."

"Tapi apa pulak dah?"




***





"Majid dah jadi orang Gombak la Tokwan...."

"Binawe punya cucu!"






 - fin -


NOTA KAKI
mot - tumpangkan, bawak

Wednesday, April 3, 2013

Majid, Bubar & Pak Ngah Deraman pt.1

"Woi! Woi! dah bubar woi!" bentak En.Sleman yang dari tadi teliti mendengar tadi berjenama Philips nya yang terletak kemas di atas meja. Majid; yang sedang membetulkan printer RIKOH di satu sudut ruang pejabat Epojin yang berpengkalan di kota Kuala Lumpur, berhenti dari mengetatkan skru pelindung toner yang sedang dikerjakannya, dan terus pergi merapati En.Sleman.

"Betul ka ni, Sleman? Dah bubar?" tanya Majid hendak mendapatkan kepastian.

"Betullah. Aku dengar sendiri ramai-ramai dalam bilik meeting tadi. Cantik betul tarikh bubar hari ni. 3413, beb! "

Majid tersenyum. Di hatinya, peluang untuk beliau melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat prihatin terhadap negara kian hampir. Mungkin disebabkan tahun ini, pertama kali Majid tersenarai dalam calon yang layak mengundi, paras keriangannya sedikit lain macam. Seronok pun ada, risau pun ada. Apa yang difikirkan, masa depan negara terletak di tangan pengundi-pengundi yang bertanggungjawab. Majid bukannya pernah mengundi, walaupun umurnya sudah hendak masuk 30 tahun. Entah kenapa Pilihanraya Umum kali ini hatinya sangat terpanggil untuk memangkah kertas undi. Kalau henda diikutkan, 2 pilihanraya dahulu tidak langsung diendahkan Majid. Mungkin disebabkan kewujudan Instagram dan Twitter, maklumat dan informasi tentang pentingnya undi menyedarkan Majid. Lihat? Siapa kata media sosial hanya 'pentas untuk badut dan membuang masa'?

Staff-staff di bahagian pengurusan kapal kesemuanya berhenti seketika dari membuat kerja. Ramai-ramai mereka berkumpul di bilik meeting dan berceloteh sesama sendiri tentang parti apa yang bakal mereka pangkah. Pelik juga sesekali mendengar perbualan mereka. Entah apa kaitannya dengan individu yang pro-Chelsea hendak menyokong parti biru. Individu yang pro-Liverpool pula hendak menyokong parti kaler merah. Majid? Dia pro-Norwich City. Mungkin parti hijau kot yang menjadi pilihannya?

Ahh..lantak la. Undi kita semua adalah rahsia. Itu janji SPRM kepada rakyat Malaysia. Majid malas hendak ambil tahu. Kerja memasang bingai dan kerangka printer harus disegerakan. Kalau tidak, makin cairlah tahi telinga Majid menadah rungutan dan makian dari 'manager' kelas atasan yang tidak boleh mencetak dokumen penting mereka dari semalam. Dah menjadi lumrah kerja Majid. Itu norma, sebab Majid memang seorang technician pada hemat mereka.

Sedang Majid memintal-mintak wayar kuasa utama mesin pencetak tersebut, telefonnya berbunyi. Sepantas kilat dia mengeluarkan telefon pintarnya yang tersisip kemas di poket kanan. Siapa pula yang ingin 'mencari pasal' dengan Majid pagi ini? Ya, untuk pengetahuan pembaca, Majid memang 'disayangi' oleh pihak-pihak ketiga, terutama sekali pihak bank yang sangat mengambil tahu pasal susah-senang Majid. Bila awal bulan saja, para pegawai bank akan membuat panggilan telefon dan bertanyakan 'khabar'nya. Sampailah Majid juga kadang-kadang rasa sangat fed up dan tidak mahu menagih dari pihak mereka lagi. Alarh, takkan anda pembaca diluar sana tak pernah di'ambil berat' oleh mereka. Pernah kan? Jangan tipularh!

Berbalik kepada cerita Majid, pemanggil yang bertanggungjawab disebalik deringan telefon tadi, adalah tidak lain dan tidak bukan.....Pak Ngah Deraman. Terketar juga Majid hendak menjawap panggilan tersebut, kerana tersedar yang duit RM200 yang biasanya akan dimasukkan ke dalam akaun simpanan datuknya belum dilunaskan.

"Aiyaaa....matilah aku kali ni." bisik hati Majid.

*kletap*

"Haaa...tokwan. Assalamualaikum. Apa habaq?" sapa Majid terkekeh dengan perasaaan sedikit 'plastik'.

"Waalaikum salam...."

Pendek saja jawapan Pak Ngah Deraman. Majid sudah panik. Datuknya sudah mula hendak menunjukkan tanda-tanda hendak mengganas seperti tentera Kiram. Dari kecil lagi Majid memang sangat takutkan libatan rotan Pak Ngah Deraman. Dan perasaan takut ini membawa ke umur Majid sekarang yang sudah masuk 30 tahun.





*bersambung sebab dah pukul 6. Gua nak balik!*
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...