Thursday, April 4, 2013

Majid, Bubar & Pak Ngah Deraman pt.2

"Hang ada dengar warta berita tadi?" tanya beliau pendek.

"Ada tokwan. Majid dengaq kat radio kawan tadi. Dah bubar dah tadi. Alhamdulillah...."

Jauh di sudut hati Majid, disebalik keketaran yang menggerutuk kedua belah lututnya, dia sudah boleh mengagak soalan apakah yang bakal ditanyakan oleh Pak Ngh Deraman. Ya lah, 20 tahun Majid hidup bersama datuknya sejak 'kehilangan' ayahnya yang sampai sekarang belum kunjung tiba. Majid hanya ada orang tua itu; yang membelanya bagai menatang minyak yang penuh.

Namun, definisi 'minyak yang penuh' itu sebenarnya tidaklah seindah seperti yang sering dihurai dalam buku teks KBSM. Birat-birat 'cinta' berbekas 7-8 garis di belakang badan Majid menunjukkan Pak Ngah Deraman memang mempunyai nilai disiplin dan estetika yang tinggi dalam mendidik Majid menjadi 'orang'. Silap sikit, talipinggang lah makannya. Gagal dalam peperiksaan? Biasanya Majid takkan balik rumah untuk 2-3 hari. Amukan Pak Ngah Deraman sebenarnya lebih dasyat dari video tentera sulu menyembelih tengkuk Komando kita yang pernah menjadi 'viral' sebulan dua yang lalu. Menyampuk cakap orang tua? 'Tiger Kick' lah balasannya. Pada Majid, hukuman bilis-bilis macam tempeleng, low-kick, pulas lemak di perut, low-blow bahkan nipple cripple sudah habis ringan dah, dan tak perlu di Instagram menanti belas kasihan.

Sayangnya, zaman itu belum ada Instagram lagi. Paling hip pun, kawan VCR tape gusti di kedai kopi kampung.

"Aku memang dah tunggu lama dah kalau hal-hal nak mengundi ni. Aku ni dah tua Majid, mungkin ini la kali terakhir aku nak menjalankan tanggungjawab aku sebagai rakyat kat Meleysia ni. Esok lusa, mungkin aku dah padam." keluh Pak Ngah Deraman dengan nada sedikit sayu.

Tambahnya lagi:

"Kita orang Melayu ni jangan jadi pemalas. Asek nak tunggu bantuan gomen saja. Bila masa nak mengundi, tidoq dari pagi sampai ke petang. Buat-buat tak tahu. Aku dah masak dah Majid oiii, dengan perangai bangsa kita ni. Nak kata tak dak kenderaan nak pi sebab tempat mengundi tu jauh gila. Ceh! Bukannya tak ada orang nak *mot kita pi tempat mengundi tu. Ada jaaaa. Tunggu saja tepi jalan. Ada la nanti orang mai kutip kita. Sampai macam tu sekali DUN kawasan kita bagi kemodahan untuk kita pi mengundi, kalau depa semua buat-buat muka bingai lagi, huuuuuuuuish...aku tak tau la!" seloroh Pak Ngah Majid seakan menggunakan telinga Majid sebagai medium melampias ketidakpuashatian.

Majid tersenyum. Dia paham benar perangai datuknya itu. Biasalah, veteran askar la katakan. Hal-hal bangsa pemalas ni memang dia sensitif benar. Kalau difikirkan logik, betul kata-kata yang diselorohkan datuknya itu. Pernah sekali Pak Ngah Deraman menempeleng Deris, seorang peraih buah kelapa yang paling disayangi kroni di Parit Buntar ini. Ini kerana, ketika bersembang di kedai kopi, Deris dengan tidaksengajanya terlepas cakap yang dia tertidur sampai ke Maghrib semasa PRU 2 musim yang lalu, dan tidak sempat pergi mengundi. Majid yang ketika itu meneman atuknya minum kopi panas di kedai Kopi Haji Hasaan tergamam melihat Deris tersandar di dinding mengerang kepedihan di pipi. Semua pengunjung kedai kopi ketika itu tidak saorang pun berani bangun dan menghalang kejadian itu dari terus berlarutan. Hendak ditolong Deris, takut dilabel 'bantu tak kena tempat' pula. Jadi, biarkan jer lah!

Begitulah betapa patriotiknya datuk Majid. Hal-hal tak keluar mengundi ni memang pantang betul didengarnya.

"Ya lah...Majid pun dah rasa Majid perlu mengundi la tahun ni Tokwan. Harap-harap undi Majid ni mampu mengubah suasana politik negara kita..." ujar Majid perlahan.

"Hah! Tahun ni aku kalau boleh takmau dah tunggu van tepi jalan. Aku nak pi dengan hang Majid. Hang balik tak ni? Jangan kata hang kena pi pelantaq minyak lagi. 2 bulan dah ni aku tak tempeleng orang!"

*gulp*

Majid mula menelan air liur. Sah tokwannya lupa akan status Majid yang paling latest.

"Tapi tokwan....."

"Tapi apa pulak dah?"




***





"Majid dah jadi orang Gombak la Tokwan...."

"Binawe punya cucu!"






 - fin -


NOTA KAKI
mot - tumpangkan, bawak

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...