“Berapa lama hang balik kampung ni, Mat?” sapa Tokwan gua yang sedang menebas lalang-lalang panjang di gigi batas sawah.
Gua terdiam. Nyata soalan mudah yang keluar dari mulut orang yang gua sayang itu sungguh berat untuk gua jawab. Jauh di sudut hatinya, gua tahu yang dia mengharapkan cucu kesayangannya itu dapat meluangkan masa lebih lama menemani beliau di kampung dan bukanlah hanya sekadar balik kampung di cuti hujung minggu.
Berat juga gua hendak menjawab. Walaupun, hakikatnya gua balik memang balik sekadar menjenguk tokwan gua yang tinggal berseorangan di kampung sejak kematian arwah mak gua. Dulu ketika arwah hidup, dengan arwah sajalah dia dapat bercerita dan berceloteh. Namun, arwah terlebih dahulu menyambut panggilan Ilahi. Kasihan gua melihat tokwan. Jika hendak diikutkan hati, hendak saja gua berhenti kerja di KL dan terus menetap di Parit Buntar. Namun apakan daya, kekangan peluang pekerjaan di pekan kecil ini begitu terbatas, dan potensinya tidak sebesar di Kota Kuala Lumpur.
Pangkin sebesar reban ayam, menghadap 4 ekar tanah bendang milik tokwan sudah menjadi tempat gua termenung sejak dulu lagi. Pangkin inilah sering memberi ilham dan dorongan yang kuat untuk gua merantau dan mencari peluang pekerjaan di Kuala Lumpur. Dan pangkin inilah tempat yang akan gua habiskan masa jika pulang menjenguk tokwan. Mungkin suasana kehijauan sawah padi, dan lenggokan lalang-lalang dipukul angin petang adalah ‘zen’ yang dapat menenangkan hati gua yang berkecamuk memikirkan hal-hal kerja di pejabat. Ahh..persetankan hal kerja. Gua di kampung untuk berehat.
Sebatang rokok LM Merah yang ada features picit-picit mint di puntung, gua cucuh serta merta. Asap yang disedut gua hembus perlahan. Sayup-sayup hilang ditiup bersama angin petang. Tuhan sahaja yang tahu betapa tenangnya gua melayani perasaan ketika itu.
“Entah la Tokwan. Esok (Ahad) Mat dah kena balik Kelumpo dah. Biasa la. Hari Isnin dah mula kerja balik…” jawab gua perlahan.
Tokwan tersenyum. Namun, kekelatan disebalik senyuman itu dapat gua rasa. Kepiluan hati seorang tua yang inginkan perhatian dari cucunya sedang gua fahami dalam-dalam. Tapi, apa nak buat. Jika gua tidak kerja, siapa yang mahu bagi gua makan? Siapa yang mahu beri isteri gua makan?
“Takpalah…nanti-nanti hang boleh balik lagi. Jangan tak balik langsung, sudah la. Kalau hang balik, dapatlah aku makan sedap sikit. Hani masak sedap sungguh.” balas orang tua itu.
Gua tersenyum. Bila tokwan dengan yakin mengatakan yang bini gua power bab-bab masak, perasaan sungguh bangga itu membuak-buak di dada. Ya lah, sapa tak bangga ada isteri yang dipuji pandai masak. Mungkin disebabkan kemahiran memasaknya yang tinggilah, tahap kebuncitan perut gua ini dijadikan kayu ukur oleh rakan-rakan sepejabat. Ya lah, sejak kahwin ini, saiz pinggang seluar kerja gua dah 2 kali terpaksa di’modified’. (Modified?). Eh, alter. Kadang-kadang, hal ini gua sendiri yang salahkan Hani. Disebabkan dia masak sedap-sedap, gua yang terima padahnya.
Gua tergelak. Tokwan pun tergelak. Kami sama-sama terkekeh-kekeh nyaring di pangkin belakang rumah. Hani yang sedang memasak di dapur rumah serta merta menjengah ke tingkap. Mungkin dia ragu-ragu tentang apa yang kami bualkan. Takut-takut kami ada terkutuk beliau, mungkin?
“Eh, gelak-gelak jugak. Aku yang sorang-sorang dok tebas lalang ni, hang boleh tengok saja? Pi masuk bawah beranda tu, ambik lagi satu sabit. Aku dah rasa nak sakit pinggang dah nie buat soghang-soghang!” serta merta tona nada tokwan berubah apabila dia baru tersedar yang cucunya cuma sekadar tolong tengok beliau menyabit lalang.
“Eh..sori tokwan. Terlupa la. Ha’ la...Ha’ la..Mat pi ambik sabit bawah rumah sekarang jugak” balas gua sambil menggaru-garu kepala. Dah lama gua tak kena jerkah dengan tokwan. Tak sangka ‘Thu’um’ beliau masih dasyat seperti dulu. Tak sia-sia gua ajar beliau main #Skyrim time-time dia lapang di rumah.
Ketika gua baru turun dari tangga pangkin dan menyarungkan selipar, kelihatan Hani tergesa-gesa keluar dari pintu belakang rumah dan berlari mendapatkan gua. Dari riak mukanya, seperti ada benda yang penting hendak disampaikan. Dahinya berkerut. Keningnya bergerak-gerak ralit tanda memikirkan sesuatu.
“Kenapa nie, sayang” tanya gua sambil cepat-cepat memadamkan api rokok. Takut-takut kalau isteri gua tahu yang gua merokok kembali, mengamuk pula dia.
“Entah la. Kat depan tu…ada 2 orang datang. Kereta Perdana Executive. Siap bersut bagai. Nampak gaya macam lawyer dan polis bantuan. Siapa tu bang? Abang ada buat salah ke?” tanya Hani yang kelihatan sedikit resah.
“Mana la abang tahu. Bil kredit-kredit cards semua abang dah bayar. Loan kereta, loan rumah rasanya tak ada yang outstanding. Kenapa pulak depa mai serang sampai ke kampung?” gua dah mula membuat andaian membabi buta. Itu perkara biasa kalau gua berhadapan dengan scene-scene cemas seperti ini.
“Hang pi la tengok sapa mai tu. Toksah dok merepek kat bendang ni. Pi tengok, lekaih!” marah tokwan kepada gua. Baginya, lagi lama gua merepek tanpa usul periksa, makin cemas Hani jadinya nanti.
Tokwan menggenggam erat sabit di tangan kiri. Itu jam gua rasa tokwan gua serupa ‘Kodlak Whitemane’ dalam Skyrim. Bersedia bertempur dalam apa jua kekangan yang menggugat keluarga. Mungkin dia memiliki darah berketurunan orang kampung Mahsuri agaknya? Entah la, mana gua tahu! Hani masih lagi diulit kerisauan. Takut kalau apa-apa jadi pada gua, dia tak mahu tinggal berseorangan.
Berat hati gua nak melangkah pergi ke halaman rumah. Namun, walau apapun yang terjadi, gua mesti berdepan juga dengan ‘tetamu tak diundang’ yang masih gagah berdiri di halaman rumah tokwan. Perasaan sugul, bercampur-baur bertimbal-balik. Gua akui gua memang sedikit phobia dengan ‘orang undang-undang’ ini sebenarnya. Adalah cerita gua yang berkait, namun gua memilih untuk merahsiakannya dari diketahui umum. Takkanlah semuanya nak cerita, ye dop?
Pelan-pelan gua melangkah menuju ke halaman rumah, meninggalkan Hani dan tokwan yang terpinga-pinga memikirkan apa pula bentuk jenayah yang gua dah tersalah lakukan. Dada gua ini tidak berhenti-henti degupnya. Tengkuk gua meremang (orang putih kata Goosebumps) dan tapak tangan gua tak sudah-sudah berpeluh. Jika apa-apa berlaku kepada gua, gua hanya mampu fikir tentang masa depan dan keselamatan Hani.
(Ya Allah…selamatkanlah hamba Mu ini)
***
“Assalamualaikum. Ini Encik Mohd Zahril kan ?” sapa salah seorang individu yang kemas bersut hitam. Di tangannya kemas tergenggam sebuah sampul besar berisi dokumen. Serta merta dia menghulurkan tangannya untuk bersalam.
Gua sambut salam beliau dengan tona suara yang agak risau.
“Wa’alaikum salam. Ya, sayalah orangnya tu. Ada apa ni, encik?”
“Saya Kortubi Salleh, peguam dari Kuala Lumpur . Dan ini pengiring saya, Inspektor Samad dari IPD Brickfields. Dah lama saya menjejaki encik. Tak sangka kita berjumpa juga di Pekan Parit Buntar ini. Sebenarnya saya ada hal penting yang hendak dibincangkan dengan encik. Err…boleh kita berbicara sebentar?” jelas lelaki tersebut yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Kortubi’.
Peh, nama sangat rare. Ada lagi ker orang nama ‘Kortubi’ sekarang ini?
(bersambung...)